TAWKKAL

dIPETIK DARI : http://www.reocities.com/Heartland/Ranch/6736/tawakal.html



ULAMAK mengungkapkan, bahawa bertawakal itu ialah : 
 
Menyerahkan hati dan diri (jiwa raga) semata-mata kepada Allah Taala; memutuskan harapan (pergantungan) kepada sesuatu yang lain daripada Allah; meninggalkan sikap menggantungkan diri kepada yang lain daripada Allah; membulatkan keyakinan di hati, bahawa urusan memenuhi keperluan dan mencukupkan kekurangan atau mengatasi kelemahan kita adalah tertakluk di bawah qudrat dan iradat Allah Taala, sama ada dengan bersebab atau tanpa sebab. 
Ternyatalah, bahawa tawakal (tawakkul) itu adalah berkaitan dengan hati, soal keyakinan atau aqidah dan lebih merupakan amalan batiniah atau rohaniah.
 
Pendorong kepada amalan tawakal itu ialah kesedaran dan ingatan yang tetap dan berterusan terhadap kekuasaan dan takdir Allah Taala, di samping keyakinan yang mantap dan berkekalan terhadap jaminan dan janji Allah Taala dalam hal memberi pertolongan dan perlindungan kepada kita sebagai manusia, khususnya sebagai muslimin dan muslimat. Lantas, seiring dengan itu, apabila bertawakal, maka di dalam tawakal itu sendiri timbul ingatan yang tetap dan keyakinan yang teguh dan kekal terhadap kebesaran Allah Taala, keluasan rahmat-Nya, kesempurnaan ilmu-Nya dan kekuatan qudrat-Nya, di samping kemahasucian-Nya daripada mungkir janji, lupa, ralat, lemah dan sebagainya. 
 
Amalan bertawakal itu hendaklah berterusan sepanjang masa, bukan hanya semasa sesuatu urusan itu dijalankan, tetapi juga sebelumnya, terutama sesudahnya. Malah, kalau urusan itu dirancang dulu sebelum pelaksanaannya, maka tawakal itulah menjadi batu asasnya. Kerana, kita belum pasti, sama ada rancangan kita baik atau tidak, perancangannya boleh dilaksanakan atau sebaliknya. Kita juga tidak tahu sama ada urusan itu akan mendatangkan manfaat atau mudharat. Di sini, bertawakal itu menjadi penting dan menjadi lebih penting apabila urusan kita gagal, terutama semasa dan malahan sesudah usaha atau ikhtiar dijalankan untuk membaiki kegagalan itu. 
 
Apabila berhadapan dengan kegagalan, kita hendaklah sentiasa menyedari, bahawa kegagalan itu adalah takdir Allah Taala. Kita hendaklah bersabar dan rela, malah bersyukur menerima takdir itu. Kesyukuran di sini merupakan "buah" daripada "pokok" tawakal yang kita semai, kita bajai dan kita suburkan itu. 
 
Seterusnya "buah" tawakal itu akan melahirkan ketenangan di hati, kedamaian dan ketenteraman, lalu dapatlah kita mengerjakan urusan akhirat dengan sempurna, penuh istiqamah, penuh iltizam, tanpa sebarang gangguan. 
 
Orang yang tidak bertawakal (misalnya, tidak menggantungkan amalan dan urusan hidupnya kepada Allah Taala) tidak akan dapat mengerjakan ibadat dengan tenteram, terutama apabila setiap waktu hatinya di dalam kebimbangan dan sering memikirkan razekinya, hartanya dan kemewahan hidup untuk dirinya dan keluarganya. Dengan keadaan yang demikian sudah tentu urusan ibadatnya tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna.  Sebab itulah kita amat dituntut agar bertawakal kepada Allah dalam segala hal, kerana tawakal itu akan menghapuskan kebimbangan di hati.
 
Seseorang itu boleh dikatakan tidak atau gagal bertawakal apabila hatinya sering diserang kebimbangan, sama ada kebimbangan lahiriah atau batiniah. Kebimbangan lahiriah ialah kesibukan dalam kegiatan mencari razeki atau mengejar harta kekayaan dan kemewahan. Manakala kebimbangan batiniah ialah kesibukan minda memikir dan merancangkan tentang cara mencari razeki atau cara mengurus urusan duniawi. 
 
Bagaiamanakah boleh dikatakan bertawakal, kalau seseorang itu meyakini bahawa kejayaan urusannya adalah semata-mata bergantung kepada usahanya sendiri atau kepada pertolongan daripada yang lain, selain Allah?  Dalam keadaan kedua-dua kebimbangan tersebut, bagaimanakah boleh kita beribadat dengan sempurna? Sedangkan untuk mecapai kesempurnaan ibadat itu diperlukan ketenteraman, lahiriah dan batiniah. 
 
Oleh kerana kedua-dua kebimbangan itulah, maka dikatakan urusan duniawi itu mengganggu urusan ukhrawi. Dan, itulah sebabnya, terdapay di kalangan ulamak amat menekankan supaya kita mengenepikan atau melupakan sama sekali urusan duniawi. Kerana, bagi mereka, urusan duniawi itu, urusan mencari razeki misalnya, dikhuatiri akan menjadikan kita sibuk, resah-gelisah, lalai dan cuai mengerjakan ibadat. Justeru, setengah ulamak menganjurkan agar kita bertawakal semata-mata tanpa sebarang usaha dan ikhtiar. Lalu orang menganggap dan menerimanya sebagai alternatif yang terbaik. Inilah punca timbulnya kekeliruan dalam kefahaman tentang konsepsi tawakal itu.
 
DALAM kefahaman tentang konsepsi tawakal masih terdapat kekeliruan di kalangan masyarakat kita sehingga mereka menerima tanggapan yang salah mengenainya. 
 
Sama ada oleh kerana kurang mendalami konsepsi tawakal atau sengaja hendak mengelirukan orang ramai dengan tujuan atau untuk kepentingan tertentu, ada orang mengatakan,  apabila sudah bertawakal, kita tidak perlu lagi bekerja, berusaha atau menjalankan sebarang ikhtiar (khususnya dalam hal yang berkaitan dengan mencari razeki).. Kata mereka, untuk apa kita bersusah-payah mencari razeki? Kenapakah kita bimbang tentang razeki?  Bukankah razeki itu telah ditentukan oleh Tuhan?  Duduklah beribadat dua puluh empat jam saban hari dan bertawakallah kepada Allah, razeki pasti akan diperolehi, kerana peruntukan razeki seseorang itu telah ditentukan oleh Allah.
 
Tanggapan yang demikian tidak tepat dan sikap demikian ternyata menyeleweng daripada tuntutan bertawakal mengikut pengertiannya yang sebenar. Kita boleh bersikap demikian, jika kita telah mencapai martabat waliyullah yang hidup dengan segala amalannya, zahir dan batin, mengikut tariqat kewalian. Tetapi pastikah kita betul-betul sudah mencapai martabat itu? Pastikah semua orang berjaya menduduki taraf para wali?   Kalau tidak,  bagaiamana kita mungkin  mendapat  karamah  atau  kelebihan istimewa daripada Allah?  Kalau kita  tidak mengamalkan apa yang diamalkan oleh wali dan sekali gus melakukan apa yang tidak dilakukan oleh insan pilihan Allah itu, bagaimana mungkin yang pepeh datang melayang dan yang bulat datang bergolek kepada kita tanpa kita berusaha? 
 
Bertawakal kepada Allah Taala memang dituntut, khusunya dalam hal: 
  • mendapat perlindungan dan pertolongan Allah Taala(termasuk taufik, hidayah, rahmat, barakah  dan sebagainya); 
  • menghadapi penentuan nasib, qadak dan qadar; 
  • mencari razeki dan segala keperluan hidup.

Penganut Islam wajib berkeyakinan penuh, bahawa segala-galanya, termasuk ketiga-tiga hal tersebut, adalah ditentukan oleh Allah S.W.T.  Akan tetapi, apabila kita dituntut bertawakal, bukan bererti kita tidak dituntut lagi untuk bekerja, berusaha dan berikhtiar dalam hal yang berkaitan dengan segala bidang kehidupan kita. Sebenarnya, agama Islam menganjurkan kita bekerja dan berusaha untuk mengubah nasib hidup kita di dunia di samping kuat beramal untuk kebahagiaan di akhirat. Allah Taala berfirman, mafhumnya:
  • Sesungguihnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum 
  • sehingga mereka mengubah keadaan pada diri mereka sendiri -
  • (QS. 13:11);       
  • Dan carilah apa yang dianugerahkan oleh Allah kepadamu 
  • kebahagiaan negeri akhirat dan janganlah engkau lupakan 
  • bahagianmu daripada kenikmatan duniawi- (QS. 28:77) 
Dan, Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:
         Bekerjalah untuk duniamu seolah-olah engkau akan hidup 
          selama-lamanya dan bekerjalah untuk akhiratmu seolah-olah 

          engkau akan mati esok. 
 
Ternyatalah, urusan dalam hal menentukan nasib hidup di dunia ini tidak harus diabaikan. Manakala urusan ukhrawi harus disaingi atau diringi degan urusan duniawi itu. Agar kita tidak terlalu ghairah terhadap urusan duniawi itu sehingga boleh melalaikan kita dan sentiasa terdedah kepada serangan kesibukan lahiriah dan batiniah tersebut, maka itu kita disuruh bertawakal.  Dan dengan  bertwakal kepada Allah, maka seseorang itu akan beroleh kejayaan. Demikianlah Allah berfirman, mafhumnya :
 
         Dan barang siapa bertawakal kepada Allah, nescaya Allah 

         akan memberi kecukupan
-  (QS. 65:3). 
 
Akan tetapi tawakal kita itu hendaklah berjalan serentak atau beriringan dengan usaha dan ikhtiar sendiri. Diriwayatkan: Seorang lelaki yang datang menemui Rasulullah s.a.w. pernah ditanya oleh baginda Rasulullah tentang kenderaan (unta) lelaki itu. Lelaki itu menjelaskan bahawa dia melepaskan saja untanya di luar (tanpa menambatnya) kerana dia bertawakal kepada Allah. Baginda Rasulullah s.a.w lalu bersabda, tambatlah dulu untamu itu kemudian barulah bertawakal kepada Allah.

Comments

Popular posts from this blog

GraNdSonS

This Time

WHEN DO YOU KNOW YOU HAVE HAD ENOUGH