Dec 8, 2021
Assalamualaikum.
KETANDUSAN ILHAM
Subhanallah, beberapa kali aku cuba untuk menulis semula. Mungkin sebab terlalu lama bakat yang ada dikala usia remaja ini tidak diasah, makanya aku rasakan terlalu sukar bagi aku untuk menyusun ayat juga mencari perkataan-perkataan yang sesuai untuk menghasilkan sebuah tulisan yang baik.
Sejak bersara, kini masuk bulan ketiga, aku masih ketandusan ilham untuk menulis, padahal itulah perancangan ku, perkara pertama yang sepatutnya aku lakukan setelah bersara. Samada hasil penulisan berbahasa melayu atau pun inggeris, satu apa pun belum terhasil.
Ya Allah, semuga lakaran hari ini menjadi pembuka kepada jalan untuk menulis dan menghasilkan sesuatu yang bermanafaat. Permudahkanlah bagi ku Ya Allah As Salaamu, Al Baasithu, permudahkanlah dan janganlah dipersulitkan. Aamiin.
Aku ingin sekali menghasilkan sesuatu yang dapat memberi manafaat kepada anak dan cucu-cucuku khasnya dan kepada masyarakat amnya. Sesuatu yang bisa menjadi panduan dan pedoman untuk kita semua melalui hari-hari dalam kehidupan di dunia ini menuju ke alam yang kekal abadi, alam akhirat.
MENGAPA AKU MASIH DI SINI.
Alhamdulillah... aku masih di sini. Dengan dan kerana izinNya, aku masih bernafas, dikurniakan kesihatan, kekuatan, kecekalan juga kesabaran bagi meneruskan kehidupan di dunia yang hanya sementara ini. Ada kala, aku mencari jawapan kepada persoalan yang bermain dalam fikiran, mengapa aku masih di sini, masih bernafas, masih tegar melalui fasa-fasa kehidupan ini dengan pelbagai ujian dihadapi.
QS. Gafir Ayat 39
يٰقَوْمِ اِنَّمَا هٰذِهِ الْحَيٰوةُ الدُّنْيَا مَتَاعٌ ۖوَّاِنَّ الْاٰخِرَةَ هِيَ دَارُ الْقَرَارِ
Wahai kaumku! Sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan (sementara) dan sesungguhnya akhirat itulah negeri yang kekal.
Surah Al'Ankabut. Ayat 002.
Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?
Ya, dunia ini hanyalah pentas kehidupan, setiap langkah, setiap pergerakan juga setiap tindakan sepatutnya berpandukan skrip yang telah Allah berikan garis panduannya. Kita manusia melakar skrip kehidupan berpandukan keinginan dan hawa nafsu kita. Sering kita gagal untuk melakarkan skrip kehidupan kita berpandukan apa yang telah Allah gariskan dalam Al-Quran dan juga sunnah Rasulullah S.A.W. Dan kerana itulah, kita sering tergelincir, terluka, menderita dan sebagainya.
Aku, sebagai insan yang sangat lemah, telah melalui bermacam-macam ujian kehidupan. Separuh dari usia ini, aku telah mengharungi sebuah kehidupan yang gelap, yang jauh dari jalan Tuhan. Walaubagaimana pun, aku masih ingat, aku terus mencari Tuhan walaupun aku rasakan diri ini tidak boleh diselamatkan lagi. Kala itu aku sendiri tidak punya keyakinan langsung yang suatu ketika akan ada cahaya menerangi. Mungkin ini fitrah seorang insan ciptaan Allah Taala, walau sejauh mana mereka melangkah dari Sang Pencipta, di sudut hati pasti merintih mencariNya. Ini aku pasti, kerana aku telah melaluinya. Setiap hari, setiap saat walau dalam kegelapan yang sangat pekat, aku tetap mengharapkan akan hadir sedikit cahaya untuk menyuluhi, menerangi lorong-lorong gelap yang aku susuri.
Allah, mendengar rintihan hambaNya. Walau seorang hamba yang hidup dalam kebusukan dosa, hamba yang terjerumus dalam kehidupan yang jauh dari redhaNya. Allah mendengar tangisan hatiku setiap malam, walau aku tidak menadah tangan di atas hamparan sejadah tika itu. Tangisan, rintihan dan jeritan memohon pertolongan, "Ya Allah, keluarkan aku dari kegelapan ini, tariklah aku dari lubang dosa ini, tolonglah aku..". Bertahun-tahun aku menangis, merintih dan menjerit mohon pertolongan. Ada saat aku kuatkan hati menghampar sejadah, sujud kepadaNya dengan rasa malu dengan dosa-dosa yang setinggi gunung dan seluas lautan, menangis, meraung dalam sujudku, mohon keampunan dariNya.
وَاسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلَاةِ ۚ وَإِنَّهَا لَكَبِيرَةٌ إِلَّا عَلَى الْخَاشِعِينَ
Mafhum: “Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk.” (Surah Al-Baqarah, 2:45)
Sesungguhnya Allah Maha Pengasih, Maha Penyayang, tidak kira sebanyak mana dosa-dosa kita, seandainya kita bersungguh-sungguh, istiqamah serta ikhlas memohon pertolonganNya, insyaAllah, pasti dihantar pertolonganNya
قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَى أَنْفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِنْ رَحْمَةِ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ (53) وَأَنِيبُوا إِلَى رَبِّكُمْ وَأَسْلِمُوا لَهُ مِنْ قَبْلِ أَنْ يَأْتِيَكُمُ الْعَذَابُ ثُمَّ لَا تُنْصَرُونَ (54)
“Katakanlah: “Hai hamba-hamba-Ku yang malampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia-lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Dan kembalilah kamu kepada Tuhanmu, dan berserah dirilah kepada-Nya sebelum datang azab kepadamu kemudian kamu tidak dapat ditolong (lagi).” (QS. Az Zumar: 53-54).
Comments