SEGERALAH BERTAUBAT, TAKUT X SEMPAT

Alhamdullillah, ketika membelek2 majalah MIDI yang dah lama dibeli, tapi belum di baca, yang mana hari ini tetiba terbuka hati ini untuk membacanya. Alhamdullillah, membuka halaman ini, dgn topiknya yg sangat berguna.... mungkin kebetulan atau memang sudah aturan Illahi, di saat kita mencari, maka kita akan menemuinya... justru ini aku berkongsi artikel ini bersama. Tadi dh cuba google majalah MIDI, supaya x payahlah di taip balik artikel ini, just copy & paste, but then again, i guess Allah have better plan for me, dah baca, bila ditaip balik dapatlah menghayatinya sekali lagi... muga juga mendapat sedikit ganjaran dariNya atas usaha yg x seberapa ini, InsyaAllah. 

So marilah kita sama2 menghayati & memikirkannya......

Setiap kita diburu penyesalan dan dihimpit ketakutan. Kita menyesal kerana telah berbuat dosa dan takut kalau-kalau dosa itu tidak diampunkan Tuhan Inilah suara hati kita yang mahu bertaubat. Kemuncaknya kita mahu membuat pengakuan taubat itu di depan Allah SWT, di rumahNya di Baitullah. 

Namun, masih banyak lagi orang yang tidak takut melakukan maksiat walaupun usia sudah merangkak senja Apa lagi kalau si pembuat maksiat itu merasakan hidupnya tiada harapan mendapat keampunan. Mereka tetap meneruskan gaya hidup yang penuh kemaksiatan dan keburukan itu. Ini  memberi gambaran orang yang putus harapan, seolah-olah hidupnya sudah tidak bererti lagi. 
Cuba pandang di sekelililing kita. Tidak sedikit orang yang berusia MIDI bergaya seperti anak muda. Umur sudah mendekati ajal, namun gaya tidak ketolongan. Meski sudah berkedut, maksiat tetap tak surut. Rambut sudah beruban buat-buat tak perasan. Tua-tua keladi, makin tua makin menjadi-jadi. Rumah kata pergi, kubur kata mari, namun bukannya insaf tapi malah melekat dengan maksiat.

Sebaliknya, jika yang tua makin menjadi-jadi, yang muda pula bagaikan tidak memiliki hati. Mereka tahu apa yang dilakukan itu tidak elok dan merugikan, tetap saja menutup mata dan hatinya hanya untuk terus memenuhi dahaga nafsunya. "Muda foya-foya, tua kaya-raya, mati masuk syurga" - itu pula yang dijadikan gurauan.... jangan haraplah nak masuk syurga kalau hidup bergelumang dosa!

Anak muda sekarang selalu beranggapan, apabila masuk usia remaja mereka seolah-olah mempunyai tiket untuk melakukan apa saja. Dan sering kali ibubapa berkata, selagi masih muda, buatlah apa yang kau suka. Bagaimana mungkin dengan berfoya-foya tanpa amalan soleh, seseorang itu boleh masuk syurga.

Banyak orang mengakui nak buat baik sangat susah. Tapi kalau buat jahat senang. Tak payah diajar pun, dia tahu. Maka, dia rasa lebih senang terus buat jahat, terus berbuat keburukan dan bermaksiat. "Tak apalah, nanti bila dah tua, kita bertaubatlah..." begitu jawapan mereka. 

Kita jangan lupa, mati tidak mengenal usia. Bukan orang tua saja mati tetapi orang muda waima bayi baru lahir pun mati. Kalau nak mulakan suatu kebaikan, tidak perlu menunggu usia MIDI baru boleh melakukannya. Cukup dengan memulainya dari hati dan niatkan. Jika malu dilihat orang, lakukan secara sembunyi-sembunyi untuk melakukan kebaikan itu sehingga hati sudah bersedia. Sebab tanpa memulai rasanya mustahil. Kita patut berpegang pada perinsip, kalau nak buat perkara baik, lakukan mulai saat ini. Kenapa harus menunggu hari esok. Sebab belum tentu esok hari umur kita masih ada. Sama jugalah dengan kata-kata: Mati itu pasti, hidup belum tentu!

Rasulullah sangat berhati-hati dalam soal ini. Baginda mengingatkan erti penting memanafaatkan waktu yang kita miliki, lebih-lebih lagi di saat kita menginjak usia belia.

Dalam hadisnya, Rasulullah mengatakan, "Wahai remaja, peliharalah (perintah) Allah, nescaya Allah akan menjaga kamu, peliharalah (hukum-hakam) Allah nescaya Allah akan bersama kamu, jika kamu memohon sesuatu maka mohonlah kepada Allah." (Hadis Hasan Sahih riwayat Imam Tarmizi).

Daripada Ibnu' Abbas, Rasulullah SAW bersabda; "Manfaatkan lima perkara sebelum lima perkara :
  1. Waktu mudamu sebelum datang waktu tuamu
  2. Waktu sihatmu sebelum datang waktu sakitmu
  3. Masa kayamu sebelum datang masa kefakiranmu
  4. Masa luangmu sebelum datang masa sibukmu
  5. Hidupmu sebelum datang kematianmu
Rasulullah juga bersabda, "Sesekali tidak akan beranjak kedua kaki seorang hamba (manusia) pada Hari Kiamat nanti sehingga kepadanya ditanya tentang empat perkara : 
  • Pertama, ke mana umurnya dia habiskan.
  • Kedua, ke mana masa mudanya dia pergunakan.
  • Ketiga, ke mana harta-bendanya ia belanjakan.
  • Keempat, ke mana ilmunya diamalkan." (al-hadis)
MENUJU PINTU TAUBAT


Kini, sementara masih ada waktu, marilah kita bertanya pada diri-sendiri. Akan ke mana setelah ini? Dan apa amal kita yang akan kita bawa nanti saat menghadap kepada Allah SWT.

Islam tidak pernah menganggap taubat sebagai langkah terlambat. Bila-bila pun kesedaran itu muncul, Allah SWT tetap menerimanya, selama nafas masih menempel di badan. Hisab (perhitungan) akan amal-amal buruk kita di mata Allah akan segera terhapus dengan taubat kita yang sungguh-sungguh (taubat nasuha).

Kata Nabi, "Siapa yang bertaubat sebelum matahari terbit dari barat maka Allah akan menerima taubat dan memaafkannya." (H.R Muslim)

Hanya saja dalam Islam, soal berkaitan taubat ini ada kaedah dan adab-adabnya. Secara terminologinya, taubat mencakupi tiga syarat :
  • Pertama, meninggalkan percubaan dosa.
  • Kedua, menyesali perbuatan yang telah melakukannya.
  • Ketika, bertekad tidak akan melakukannya kembali. 

Taubat adalah sebuah kata yang sangat sederhana, akan tetapi tindakan ke arahnya bukanlah pekerjaan yang mudah. Banyak orang pada mulanya bersemangat mahu mengakhiri segala perbuatan dosanya. Tetapi akibat balutan noda itu terlalu pekat, selalu keinginan mengalami kegagalan untuk bertaubat. Hanya mereka yang mempunyai semangat tinggi dan tekad yang kuat serta mendapat petunjuk daripada Allah SWT yang segera melangkah kaki menuju pintu taubat 

Setiap daripada kita selagi bergelar manusia, memang tidak boleh lepas daripada perbuatan dosa. Sayangnya, kadang-kadang diantara tompokan dosa-dosa itu, kita merasakan bahawa semuanya sudah terlambat untuk dibersihkan atau dihilangkan.

Perasaan seperti ini jelas keliru. Jika kita masih tidak yakin bahawa Tuhan itu Maha Pengampun, kita boleh terejerumus lagi ke dalam dosa besar iaitu berputus-asa dari rahmat Allah SWT.

Dosa yang ada sudah tidak tertanggung, jangan sampa kita menambah bilangan dosa itu dengan perasaan tidak yakin pada rahmat Allah SWT. Syaitan memang suka jika kita terus berputus-asa dan menjauhkan diri daripada melakukan taubat, Bagi syaitan inilah kesempatan yang paling disukai untuk dimanfaatkan. Syaitan berupaya mendorong kita untuk terus berputus asa seterusnya kita semakin terjerumus dalam pujuk rayunya. 
Allah SWT ferfirman, "..... dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu." (QS Al Baqarah: 168).
Selanjutnya Allah menjelaskan : "Barangsiapa yang mengikuti langkah-langkah syaitan, maka sesungguhnya syaitan itu menyuruh mengerjakan yang keji dan yang mungkar." (QS 24:21)

Kalau kita terus hanyut dalam pujuk rayu syaitan, akhirnya melahirkan sikap lain bersikap negatif. Kita langsung tidak dapat berfikir secara rasional malah menganggap semua perbuatan itu sudah terlanjur atau nasi sudah menjadi bubur, Perasaan kita berkecamauk, seolah-olah semua dosa itu tidak ada harapan diampunkan. Orang yang membiarkan dirinya ada dalam keadaan seperti itu akan terus tercampak dalam perbuatan dosa dan kemaksiatan yang semakin jauh dan dalam. Tentu sikap seperti itu kesannya sangat buruk bagi individu yang bersangkutan.
Adanya perinsip taubat, maka dapat dijelaskan bahawa syariat taubat merupakan bentuk rahmat Allah SWT yang tidak terhingga untuk umat manusia. Al-Quran menjelaskan keutamaan taubat ini agar jiwa manusia kembali kepada jalan kesucian.
Bawa-bawalah sedar diri bahawa kita sekarang sedang berburu dengan waktu dan usia. Orang yang bertaubat secara ikhlas dan sedar akan berusaha mengisi hidupnya daripada kebaikan kepada kebaikan. Ketika kaki melangkah ke pintu taubat, kemudian tergelincir (kembali) dalam perbuatan dosa, maka segeralah betulkan langkah. Kembalilah semula ke jalan Allah.
Tidak ada alasan untuk tidak kembali ke hadapanNya dengan penuh permohonan ampun. Sebab ampunan Allah SWT maha luas. tidak peduli seberapa besar dan beratnya dosa yang kita lakukan. Ibaratnya jika kita telah melakukan kemaksiatan seluas lautan, maka ampuanan Allah melebihi luasnya langit dan bumi.

"Dan bersegeralah menuju ampunan Tuahanmu dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, disediakan bai orang-orang yang bertakwa." (Ali Imran: 133)

Semuga kita tergolong orang-orang yang mampu menyesali masa lalu yang buruk dan menjadi ahli taubat. Kita berdoa agar Tuhan tidak palingkan hati kita setelah diberi taufik dan hidayah ke dalam hati nurani kita. Kita berharap sungguh-sungguh semuga Tuhan tidak campakkan kita ke dalam nerakaNya walau sesaat. Jangan sampai kita terdengar raungan penghuni isi neraka, jangan sampai kita terlihat seksaannNya.

"Ya Allah Tuhanku Yang Satu, sesungguhnya aku tidak layak masuk ke syurga Mu. Namun aku takut untuk ke naraka Mu. Oleh itu, aku mohon kasih sayang dan rahmat Mu Ya Tuhan. Agar dapat aku berkumpul bersama rombongan kekasih Mu, Rasulullah s.a.w. Agar aku dapat terus ke syurga Mu tanpa di hisab! Tanpa di hisab! Tanpa di hisab!.."

Amin ya Rabbulalamin. 

Dipetik dari Majalah Midi keluaran 15 April 2011.

Comments

Popular Posts