MENCARI CINTA AGUNG
Menjadikan Tuhan sebagai cinta agung adalah jaminan kebahagiaan dan keselamatan hidup dunia dan akhirat. Roh semulajadi manusia ingin menyayangi dan disayangi. Ingin dikasihi dan mengasihi serta ingin mencintai dan dicintai. Perasaan sayang manusia tiada terhad sesama insan semata tetapi meliputi semua makhluk, sayang pula diberi hanya sesama manusia, tidak kepada benda. Ini yang membezakan di antara 'sayang' dengan 'kasih sayang'. Manakala perasaaan cinta pula walaupun tidak salah diberikan sesama makhluk tetapi cinta paling agung hanya layak diberikan untuk Tuhan.
Mencintai atau ingin dicintai oleh manusia bukanlah kemuncak cinta atau cinta agung., kerana cinta sesama manusia tidak kekal. Paling lama sekadar tempoh masa kita masih hidup. Bahkan sering berlaku dalam sebahagian perjalanan usia kita lagi, iaitu sebelum kita mati, cinta itu telah pudar atau terungkai sama sekali. Cinta yang diagung-agungkan dan dipuja-puja itu hancur berkecai.
Di sinilah barulah kita sedar bahawa cinta kepada makhluk atau cinta daripada makhluk bukanlah cinta hakiki atau sejati. Itu hanya cinta sementara waktu. Kita sahaja menyangka cinta itu cinta sejati dan sampai ke hujung. Rupa-rupanya dalam perjalanan umur, cinta kita kepada orang lain atau cinta orang lain kepada kita, dengan sendirinya dia ataupun kita sendiri yang mengungkainya atas sebab-sebab yang pelbagai.
Oleh itu, mencintai makhluk selalu mengecewakan kita sekalipun bukan satu kesalahan. Jadi jangan meminta, menagih atau mengharapkan sangat untuk mencintai manusia atau dicintai oleh manusia walaupun ianya tidak salah. Cinta itu tidak abadi. Sebaliknya berilah dan terimalah cinta yang kekal abadi. Itulah cinta agung namanya. Iaitu cinta Allah yang Maha Agung. Inilah cinta yang hakiki, yang sejati, yang kekal abadi dan membawa kebahagiaan di dunia dan kebahagiaan di akhirat.
Dipetik dari Majalah Midi keluaran 1st July 2011.
Comments