Ubat Bagi Orang yang Ditimpa Musibah

Di petik dari : http://www.pusrawi.com.my/index.php?option=com_content&task=view&id=38&Itemid=41&lang=ms


FIRMAN Allah S.W.T. “Berilah berita gembira kepada orang-orang yang sabar, iaitu orang-orang yang ketika musibah,mereka berkata: ‘Sesungguhnya kita adalah milik Allah dan kepadaNya kita kembali.” (Al-Baqarah 2:155) Kalimah di atas ini mengandungi pengubatan dari Allah kepada orang-orang yang terkena musibah. Sesungguh ianya merupakan ubat yang paling sesuai dan sangat berguna bagi orang yang ditimpa musibah untuk kehidupan dunia dan akhirat.

Ayat ini di atas mengandungi dua perkara yang penting yang boleh menghiburkan hati seseorang hamba itu jika ia benar-benar memerhatikannya:

Pertama, orang yang ditimpa musibah akan menyedari dengan sebenar-benarnya bahawa dirinya, keluarganya, hartanya, anak-anaknya adalah milik Allah S.W.T. Allah telah mengurniakan semuanya itu kepada hambaNya sebagai barang pinjaman. Maka apabila Allah mengambilnya semula dari tangan hambaNya, tidak ubah seperti orang yang mengambil barang yang dipinjamkannya. Disamping itu ia juga mengalami dua ketiadaan iaitu tidak ada sebelumnya dan tidak ada sesudahnya. Sesungguhnya bukanlah manusia yang mengadakan semuanya itu dari tiada sehingga menjadi kepunyaannya. Bukanlah dia yang menjaganya dari kerosakan setelah adanya dan manusia tidak menjadi pemilik yang sebenarnya. Hendaknya manusia itu menyedari jika ia mempunyai harta, harta yang dimilikinya itu adalah amanah dan bukan sebagai pemilik yang mutlak. Oleh sebab itu, harta yang dianugerahkan tidak boleh digunakan kecuali sesuai dengan apa yang dikehendaki oleh pemilik sebenarnya iaitu Allah S.W.T.

Kedua, sesungguhnya asal diri seseorang hamba dan kembalinya adalah Allah semata-mata. Justeru itu seharusnya ia meletakkan dunia di belakangnya dan ia akan datang kepada Tuhannya di hari kiamat dalam keadaan sendirian, sebagaimana Allah S.W.T. menciptanya buat pertama kali iaitu tanpa keluarga UBAT BAGI ORANG YANG DITIMPA MUSIBAH dan harta. Bahkan ia nanti akan datang kepada Allah dengan amal kebaikan dan keburukkannya. Jika memang demikian halnya permulaan dan akhir diri seseorang hamba, jadi mengapa ia merasa bergembira disebabkan harta, anak atau yang lain dimilikinya dari kenikmatan dunia? Atau mengapa ia berputus asa atas kehilangan semuanya itu? Jelaslah di sini apabila kita memikirkan asal permulaan dan kesudahan dari kehidupan ini adalah merupakan ubat yang paling mujarab untuk mengubati perasaan kita apabila ditimpa sesuatu musibah.

Disamping itu bagi orang yang ditimpa musibah itu hendaklah merasa yakin bahawa apa yang menimpanya bukanlah untuk menghancurkannya. Firman Allah S.W.T.: “Tiada suatu bencanapun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis di dalam kitab (Lauhul Mahfuz) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (Kami jelaskan yang demikian itu) supaya kamu jangan berdukacita terhadap apa yang luput dari kamu, dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikanNya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri.” (Al-Hadid: 22-23)

Sesiapa yang memerhatikannya makna ayat yang mulia ini akan memperolehi ubat yang akan menyembuhkan perasaannya ketika ditimpa musibah. Adapun di antara penawar di dalam
ayat tersebut ialah:

Hendaklah selalu memperhatikan Al-Quran dan As-Sunnah.
Selalu melihat dengan mata hati.
Selalu memohon kepada Allah dan bertawakkal kepadaNya.
Selalu mengingati musibah lam dan mengulangi ucapan Istirja’(kembali segala urusan kepada Allah SWT.)
Hendaklah selalu membezakan dua jenis kenikmatan iaitu di dunia yang sementara dan di akhirat yang kekalabadi.
Hendaklah selalu menguatkan keyakinan diri.
Hendaklah menyedari bahawa dunia adalah tempat ujian.
Mohon perlindungan kepada Allah dari godaan syaitan.
Menyedari hikmah musibah.
Sentiasa mengubati diri dengan ajaran agama.
Selalu berzikir kepada Allah.
Menyedari bahawa keluh-kesah akan menambah musibah.
Menyedari bahawa Allah tidak mengecewakan HambaNya.
Mencontohi orang-orang yang bergembira pada waktu menerima musibah.



(Dipetik dan disunting dari buku ‘Rahmat DiSebalik Dugaan’ oleh Kasmuri Selamat, 1998)

Comments

Popular Posts